Misteri Bandaraya


'Nama saya Ismail Selamat datang.Saya tolong bawa Encik ke bilik' sapa seorang pekerja hotel, dipegang tanda namanya- Ismail.

Aku baru sampai ke bandaraya. Agenda selepas ini ialah makan, seusai solat Isyak dulu atau solat sekarang bukan dulu. Sarkastik. Hotel ini nampak macam okay, atau aku sememangnya malas nak mencari hotel lain. Orang ada kereta berbeza dengan orang lain yang mungkin perlu mengambil kira jarak , teksi bas, hujan panas apa benda itu semua. Logiklah. Terfikir juga kalau naik kapchai dan duduk hotel dimana nak letak motor? 

Maksud aku,  selain kena gelak dengan orang yang rasa mat saleh sangat, adakah pihak hotel ada menyediakan kemudahan untuk motor kapchai? Kalau superbike ke dual purpose ke itu lainlah. Maklumlah zaman sekarang mata berair berdaging  tapi ber roh kan keduniaan. Kan?

'Hotel ni apa yang 'special' makanannya dik?' tanya ku pada Ismail sambil dia mengangkat beg dan aku seperti raja lagaknya, berjalan menuju ke lif.

'Ada macam macam makanan istimewa disini Encik.Ada hidangan barat, Melayu,Jepun,Cina....Itali pun ada. Kalau musim cuti sekolah atau perayaan lagi pelbagai. Chef chef disini semuanya memang sedap masakkan mereka.Kalau Encik nak, saya cadangkan Encik pilih...'

'Adik ni hafal skrip ke?Haha' gelak aku. Merah sikit muka Ismail. Kami masuk ke dalam perut lif. Empat segi.

'Ni bekerja sampai malam ke?' tanya ku memecahkan suasana sunyi.

'Iya Encik.Sampai jam 12 malam. Lagi setengah jam. Kemudian kawan yang lain akan ganti. Pekerja  dihotel ni semua ada 40 orang. Tak termasuk bahagian bahagian lain.Pengurusan pula ada 3 lapis...'

'OK OK.Bahaya juga sebenarnya terlampau peramah beritahu semua tu walaupun adik ni bekerja dihotel, manalah tahu ada pengganas Hindu ke pengganas Irish  kat sini ke, tak begitu?' sarkastik ku lagi. Ismail tersengih sengih.

'Nombor bilik Encik 403.Pemandangan cantik juga disitu.Boleh nampak pusat bandar, bukit rekreasi yang baru siap minggu lepas dan laut. Kalau nasib baik boleh nampak kapal persiaran berlabuh.Kadang kadang pihak bandaraya saja saja buat letupan mercun.Nanti ramailah orang berkumpul menengok.Encik tengok daripada bilik aja dah OK...' terang Ismail tanpa diminta, dah macam paip air bocor.

Kami kemudian melalui koridor aras 4 (bilik 403 kan?), bahagian kanan ialah unit bilik dan bahagian kiri tingkap kaca. Boleh nampak bangunan bangunan tinggi. Terfikir juga binaan tinggi ini kan tanda tanda kiamat? Manusia berlumba lumba membina bangunan tinggi. Mencakar langit. Seorang ahli falsafah Yunani di 2000 tahun dulu bila melihat kerosakkan akhlak anak anak muda telah merasakan dunia akan kiamat bila bila masa, ini kan pula zaman kita....

'Ini bilik Encik' suara Ismail mematikan pemikiran kiamat ku tadi.

'Boleh solat dalam bilik kan? Arah kiblat mana?' tanya ku yang ragu ragu walaupun Islam adalah agama rasmi perlembagaan negara. Maklumlah selalu terdengar buku Bible disimpan dalam bilik bilik hotel. Entahlah niat apa begitu yang melakukannya.

'Boleh.Arah kiblat tu hah' unjuk Ismail pada anak panah di siling.

'OK.Terima kasih' kata ku sambil menyeluk saku. RM5 ku unjuk pada Ismail.

'Tak apa Encik. Saya dah diberi gaji. Untuk membantu pelanggan. Ada apa apa telefon saja kaunter. Selamat malam.' hormat Ismail sambil meminta diri.

Aku membuka pintu bilik selepas memberi salam. Meraba dinding. Bersinar cahaya oren kuning terang. Kelihatan katil untuk 2 orang. Meja tamu. TV bukan skrin rata. Bilik air disebelah kanan, diruang sebelum katil. Klise susunan bilik hotel. 

Aku meletakkan beg dihujung katil. Ambil bantal dan perlahan lahan menepuk tilam katil. Ini pesanan orang orang tua, manalah tahu kalau ada jin syaitan yang berbaring disitu. Kalau kita terus berbaring saja dan terkena jin syaitan yang tak kelihatan tu, gusar nanti mereka mengacau kita cara supernatural pula. 

Dibuatnya ada jelmaan pontianak dalam bilik tengah malam nanti? Kita bersedialah. Bukan nak takut sesama makhluk, tapi kan ada belajar adab tatatertib, kan? Kita khalifah dan sebaik baik umat. 

Kesopanan itu perhiasan diri.

Usai solat aku pun keluar bilik. Mahu makan dihotel atau berjalan jauh sikit? Tak hujan diluar. Malas pula mahu memandu. Esok boleh memandu puas puas. Berjalan kaki sajalah. Cuma mahu kemana? Malas pula makan makanan hotel. Cari lauk orang Melayulah atau paling kurang nasi kandar restoran francais.

Berjalanlah aku keluar hotel kemudian. Wahhh.Ada banyak kedai dikiri kanan hotel rupa rupanya. Restoran Wahab Deen. Kedai Makan Abdul Ghafur, Kafe Aftab Mehmoun, Restoran Penang Ori, Restoran Syarifah Mutiara, malahan rangkaian makanan barat pun banyak. KFC rasanya 2 kedai aku jumpa sepanjang perjalanan aku mencari kedai masakan gaya Melayu. Mc D tak minat sangat.
Itu satu kedai Melayu.  Warung agaknya lebih sesuai dipanggil. Terperosok antara lorong kecil deretan kedai gaya Kolonial macam di Penang. Atap cuma daripada kanvas, dan 2 lampu mentol kuning. Bolehlah. Kalau Melayu tak tolong Melayu siapa lagi?

Aku berjalan menghampiri.

TAP

Bahu ku ditarik seseorang.
 
'Adik, lu jangan pergi situ.' kata seorang lelaki Cina bila aku menoleh ke belakang.

'Kenapa?' tanya ku.

'Lu tengok situ' juih lelaki Cina itu ke arah depan ku. Ke warung tadi.


Tiada apa apa. Tiada lagi cahaya mentol. Tiada lagi atap kanvas. Tiada sudah kedai warung Melayu tadi. Hanya kegelapan lorong kelam.


'Eh...' kataku tersentak.

'Tak apa Adik. Lu pergi lain tempatlah.Gua sini duduk sudah 30 tahun pun tak pernah pergi makan situ.Ramai orang bukan dari sini selalu masuk situ. Padahal situ mana ada kedai, apa pun tak ada ley' terang lelaki Cina tadi.

Minum air liur aku sendiri selepas mendengar penjelasan lelaki Cina tadi.

'Adik, belanja gua minum boleh kah? Bukan araklah. Teh tarik sudahlah.Nasib gua nampak lu tadi. Gua halanglah.'  tanya lelaki Cina tadi.

Malam itu aku makan dengan ditemani kenalan baru, lelaki Cina tadi.

Selesai makan apa semua dan membayar, aku meminta diri. Terasa lain tetapi tidaklah seram sangat. Mungkin kerana bandaraya ini tidak pernah tidur. Ada saja kelibat orang sana sini. Semua pula buat hal masing masing. Oleh kerana terasa masih segar, aku pun mengambil keputusan bersiar siar dikawasan komersial yang khusus menjual barang cetak rompak. Cuci mata dan gelak dalam hati.
Kebanyakkan barangan dijual peniaga Cina dan sedikit sedikit terselit orang Melayu dan India. Barangan yang dijual hampir sama saja semuanya.

Aku tidak bernafsu membeli. Aku membuat pusingan U dikawasan komersial barang cetak rompak tadi. Kemudian berhenti sekejap di gerai tolak seorang Nyonya tua, membeli Yeos Soya. Sambil minum sambil berjalan perlahan lahan. Mengira mengira kalau terjumpa barang barang yang agak pelik dan harga patut, nak jugalah membeli.

 Kalau setakat kasut,beg,pakaian dll yang cetak rompak memang aku tak minat. Kalau harga murah murah tak apalah juga. Ini barang cetak rompak, harga pun cetak rompak, kualiti? Kita sendiri fikir.
Tiada apa apa yang menarik perhatian. Aku pun melangkah pergi dari kawasan komersial cetak rompak itu. Ke mana? Biar kaki melangkah dulu.

Aku terfikir di bandaraya ini memanglah orang orangnya tidak tidur, tapi bagaimana kompleks mall perniagaan? Mungkin ada yang sudah tutup kerana waktu bekerja untuk pekerja, tapi mungkin ada juga yang masih dibuka? Entahlah. Jom jalan tengok.

Mengikut pengetahuan ku yang agak terbatas berkenaan bandaraya ini, dulunya pada akhir 80an ke awal 2000, pembinaan kompleks kompleks komersial memang rancak. Mungkin permintaan dan daya potensi menyebabkan pembinaan yang kadang kala dilihat terlalu mahu membangun. 

Dan masalah sampai waktu kemelesetan ekonomi atau kewujudan pembinaan komersial baru yang lebih pelbagai ditawarkan dan serba mewah. Dalam dunia pembinaan, dengan sedikit kreativiti pun boleh menaikkan harga hartanah.

Jadi didepan aku kini, entah ke mana kaki ku melangkah membawa aku, kelihatan 2 ke 3 bangunan yang kelihatan kosong. Rekabentuk tipikal akhir 80 an. Mengikut penilaian aku kemungkinan 2 ke 3 bangunan itu sudah tidak berpotensi lagi. 

Sebenarnya apa apa pun aset hartanah terutama bangunan masih boleh dipulihkan lagi. Jika pihak empunya atau pemaju nampak potensi sedia ada. Nasib juga kadang kadang memainkan peranan, namun yang paling penting ialah kebijaksanaan mengintegrasikan ramai 'pemain' dalam industri. Mudah cakap ialah kemampuan meyakinkan orang. Mungkin sebab itu sekarang ini lebih ramai politikus berbanding negarawan. Hahaha.

Aku  kemudia memilih sebuah bangunan tinggi, mungkin 4 tingkat atas tidak termasuk aras lantai, kerana ia kelihatan tidak dijaga sesiapa. Finishing luar bangunan ialah kaca yang hitam. Daripada tingkat teratas hingga pertama. Bahagian lantai marmar kelabu. Siapalah arkiteknya ya?

Pintu kayunya yang seluas kepala lori treler juga sudah terkopak kopak kayu plywoodnya. Namun masih kelihatan ada lampu didalam bangunan itu. Mungkin ada kedai kedai yang berlainan (dibandingkan dengan kedai kedai luar) didalam? Aku terfikir kalau kalau ada kedai menjual gitar gitar lama. Bertuah kalau jumpa. Dapat Fender Japan pun OK.

Atau kalau dapat jumpa kedai jual buku buku terpakai pun sudah besar nikmat. Aku bukanlah gemar sangat membaca yang jenis jenis fokus 100%.  Lebih berminat pada komik, majalah kartun atau apa apa saja yang menangkap perhatian. Macam koleksi Pendekar Laut, Roda Roda, Ujang (Kharisma Publication), Gila Gila tahun 80an, SBDJ atau apa apa saja. Kadang belikan juga untuk orang tersayang buku buku masakan atau novel novel lama.

Ada eskalator dalam bangunan, tapi sudah tidak berfungsi. Lif pun pastinya sudah tidak bergerak lagi. Tiada jalan lain. Panjat eskalator. Ruang bawah tiada apa apa. Semua unit kedai tutup. 

Naik ke tingkat 1 tidak kedengaran apa apa. Sunyi. Dari bawah ku jenguk tingkat 2. Ada kedengaran suara orang diatas. Naik ke atas.

Hm. Diatas dijadikan stor. Aku bertanya pada seorang remaja berbangsa India. Mungkin pekerja atau penjaga stor.

'Sini bangunan apa nama?' dan menanti jawapan.

Beliau melihat ku dengan pandangan kosong. 'Wilayah Mall' jawabnya perlahan.

'Kedai semua dah tutup ke?' tanya ku lagi.

'Semua sudah kosong Abang. Sini stor saja ada. Sebab ini Wilayah Mall punya pengurusan ada kongsi sama dengan ini stor punya bos. Saya punya Uncle juga. Krishnamoorty Sugaiyah Anderson' jawab remaja India tadi.

'Em. Sini stor apa barang simpan?' tanya ku lagi yang sebenarnya sedikit hampa, ku jangka ada kedai gitar vintaj, tiada apa pun.

'Macam macam. Kadang itu foam, kadang itu furniture, kadang itu sound system, kadang entah apa saya pun tarak tahu. Biarlah. Saya jaga saja. Orang hantar saya sign keluar masuk. Orang periksa saya sign keluar masuk. Sama lah.' semakin ramah remaja tadi.

Aku kemudian turun semula ke bawah. Menuju ke pintu bersaiz kepala treler tadi. Keluar daripada Wilayah Mall. Tak pasti pula sejarah silam bangunan ini waktu zaman kegemilangannya dulu.
Keluar ke pinggir jalan, aku memilih sebuah bangunan berwarna merah hati. Sebab aku nampak tingkap tingkap terbuka dengan cahaya dan kelihatan masih ada orang keluar masuk. Gerak.

'Encik ada apa urusan?' sapa seorang lelaki berjaket waktu aku menaiki tangga mahu masuk ke dalam.

'Tak boleh masuk ke? Saya saja nak tengok tengok dalam.' jawab ku serba salah, sedikit.
 
'Encik sewa kedai kat dalam ke?' tanya lelaki berjaket tadi.

'Tidak. Saya bercuti disini. Tak ada apa nak buat dibilik hotel.' jawab aku.

'Kalau macam tu Encik tak boleh masuk. Sebab sekarang tengah renovate ruang legar dibawah. Yang ada urusan atau tuan kedai saja boleh masuk. Maaf ye?' jelas lelaki berjaket.

Aku mengangguk dan turun semula tangga.

'Encik, Encik, sekejap' tiba tiba lelaki tadi menahan aku.

'Tadi saya nampak ada seorang lagi lelaki. Cina. Kawan Encik ke? Mana dia?' tanya beliau. SATU
PERTANYAAN YANG MENGEJUTKAN AKU.

'Tak Encik. Saya seorang aja.' jawab aku sedikit seriau.

Lelaki berjaket kelihatan ragu ragu namun kemudian membiarkan aku berlalu.

Persetan saja. Mungkin lelaki berjaket salah nampak. Apa apa pun boleh jadi dalam dunia ini.
Aku kemudian berjalan lagi. Teringin pula melihat lagak orang ramai. Maklumlah ramai tak tidur lagi. Jadi aku mengambil keputusan mencari tempat duduk. 

Aku nampak 1 bangku kayu panjang berhampiran sebuah kedai tepi jalan raya. Kedai tutup. Bolehlah. Didepan bangku kayu seberang jalan ada kawasan dataran berbentuk bulatan dengan marmar merah. Lampu lampu menerangi kawasan dataran melimpah hingga ke kawasan sekelilingnya. Maknanya memang terasa agak selamat jugalah.

Di dataran aku lihat budak budak bermain skate, shuffle dan ada juga kelompok orang Afrika minum arak beramai ramai. Ditempat parking berhampiran dataran, berkumpul geng skuter dan geng motorsikal. Nampak macam Yamaha RD.

Aku melihat lihat gerak geri mereka yang didataran, berhampiran dataran dan orang yang lalu lalang.Kenderaan diatas jalan masih banyak cuma tidak seteruk waktu siang.

'...Ingin pulang membalut luka hati mu..' suara nyanyian buskers bersebelahan. Mereka ber 'busking' berhampiran bangku kayu tempat dudukku sekarang.

Dengan bertopi senget sebelah dan tanpa mempedulikan samada ada atau tidak orang yang mendengar nyanyian mereka mahupun menghadiahkan seringgit dua. Aku mendengar dan cuba menghayati lirik Biar Bulan Bicara yang dinyanyikan. Teringat pula kepada cerita cerita lama dulu. Zaman sekolah, zaman universiti dan zaman susah. Masih tiada lagi perempuan yang sesuai yang aku jumpa. Setakat ini.

Mujurlah aku masih dapat mengawal fikiran. Berkat ilmu agama yang dicedok belajar dulu.

Teringat kepada sebuah cerita sewaktu zaman di universiti dulu. Ada kawan satu batch lain pengajian, berbangsa Cina, cuma aku tidak pernah mengenali beliau dengan lebih rapat, yang membunuh diri kerana kekasihnya di universiti lain curang. Memang ngeri bila diingatkan. Aku cuma sekadar bertegur tegur biasa dengan mendiang sebelum kejadian.

Cinta akan berakhir dengan kebahagiaan atau kesedihan. Terpulang pada masing masing.

Malam semakin larut, masa untuk pulang ke hotel.
 
 

Previous
Next Post »